Tuesday, May 31, 2011

GIATMARA Sri Aman galas cabaran Negeri Sarawak

SRI AMAN - GIATMARA Sri Aman melalui pelatihnya Mary Emelda ak Rigok dari kursus Solekan & Terapi Kecantikan bakal menggalas cabaran Sarawak dalam Pertandingan Kemahiran Malaysia yang bakal dilangsungkan pada Julai ini. Beliau yang di bawah bimbingan Tenaga Pengajar Solekan & Terapi Kecantikan di GIATMARA Sri Aman, Puan Sabrina binti Abdul Rahim telah melepasi peringkat kelayakan di IKBN Pertak, Hulu Selangor pada April yang lepas. “ Ini adalah julung kalinya wakil dari Sarawak layak dalam bidang “Beauty Therapy” di dalam Pertandingan Kemahiran Malaysia”, ujar Pengurus GIATMARA Sri Aman, En. Mohd Faizal Che Amat.

Mary Emelda sedang membuat latihan “Fantasy Make-Up” untuk cabaran peringkat akhir PKM 2011

Sekiranya berjaya pada pertandingan akhir ini, Mary Emelda akan mewakili Malaysia ke 9th Asean Skill Challange di Indonesia pada 2012 dan seterusnya ke World Skill yang berkemungkinan diadakan di Denmark.

“Saya pada mulanya tidak menyangka bidang ini mampu membawa saya ke peringkat sebegini. Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya, bidang solekan sebenarnya bersifat global dan memerlukan kita sentiasa “update” dengan perubahan”, kata Mary Emelda yang sering bersama Tenaga Pengajar menggunakan alternatif Youtube sebagai medium rujukan antarabangsa.

Mary Emelda telah menyertai kursus di GIATMARA Sri Aman dalam bidang Solekan dan Terapi Kecantikan pada Julai 2010. “Ramai orang berpendapat kursus solekan di GIATMARA hanya menumpukan kepada solekan semata-mata. Pada hakikatnya, banyak lagi yang bakal dipelajari contohnya rawatan muka, rawatan kuku, rawatan badan malahan bidang keusahawanan”, kata Puan Sabrina ketika mengulas tentang persepsi latihan solekan di GIATMARA.

Puan Sabrina dalam sesi pembelajaran di GIATMARA Sri Aman

Justeru, beliau menyeru kepada belia di luar sana, khususnya di Bahagian Sri Aman agar menolak persepsi negatif yang menganggap bidang solekan tidak mampu kemana-mana. Permohonan untuk kursus Solekan dan Terapi Kecantikan dibuka mulai sekarang dan permohonan bolehlah dibuat terus di GIATMARA Sri Aman atau memuat-turun borang melalui laman blog http://gmsriaman.blogspot.com.

-MOHD KHAIRUL AZHA-

0 komen:

Post a Comment