Photobucket

Tuesday, May 31, 2011

GIATMARA Sri Aman

GIATMARA telah mula bertapak sejak 25 tahun yang lepas di Malaysia. Kewujudan GIATMARA pertama di Jitra, Kedah menyaksikan perkembangan memberangsangkan ke hampir setiap Parlimen di Malaysia. Sehingga kini, sebanyak GIATMARA telah ditubuhkan dan di Sarawak sahaja, 7 GIATMARA baru akan memulakan operasinya Julai ini.

GIATMARA Sri Aman tersergam indah di Jalan Astana

GIATMARA Sri Aman, merupakan antara Pusat Latihan Kemahiran Vokasional di Bahagian Sri Aman selain GIATMARA Lubok Antu. Terdapat 2 kursus “soft-trade” ditawarkan di GIATMARA Sri Aman iaitu, kursus Teknologi Sistem Komputer dan kursus Solekan & Terapi Kecantikan.

Rutin Pagi di GIATMARA Sri Aman

Hubungan antara warga kerja dan bekal pelatih dalam menjayakan Gimik Sejiwa Senada Bahagian Sri Aman yang lalu.

Latihan sepenuh masa selama 6 bulan ini diperkukuhkan lagi dengan sistem GCPA (GIATMARA Competency Point Average) yang diperakui oleh Universiti Kuala Lumpur (UniKL). Pelatih yang terampil dengan markah yang cemerlang bakal memperolehi Sijil Professional GIATMARA di samping Sijil Kemahiran GIATMARA Malaysia sepertimana sebelum ini. Selain itu dalam tempoh 6 bulan, pelatih akan didedahkan dengan pembangunan portfolio sebagai bukti keterampilan mereka.

Pelatih Teknologi Sistem Komputer ketika menyiapkan tugasan dalam Modul Dokumen Multimedia

Latihan demi latihan akan menjadikan kemahiran sesuatu yang menyeronokkan.

Antara keistimewaan latihan di GIATMARA adalah elaun RM 1200 untuk tempoh 6 bulan. Ini bermakna, setiap pelatih bakal menerima RM 200 sebulan. Ini hanya dinikmati oleh pelatih sepenuh masa sahaja. Dalam masa yang sama, pelatih yang cemerlang boleh meneruskan peringkat pengajian mereka ke Program Artikulasi dimana ianya memberikan peluang kepada lepasan pelatih GIATMARA untuk memperolehi Diploma di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan seterusnya di peringkat Ijazah di Universiti Kuala Lumpur.

Pelatih dan Warga Kerja di Taman Panorama Benak sempena Aktiviti Hari Pengantin dan Hari Korporat GIATMARA Sri Aman

Dengan membawa konsep, “Kemahiran Menjamin Kehidupan”, asalkan mempunyai minat dan ketekunan mendalam, pelatih GIATMARA sebenarnya mampu untuk menjadi seorang insan yang berjaya. Di GIATMARA Sri Aman, pelatih juga didedahkan dengan elemen Keusahawanan melalui Kursus Pembudayan Keusahawanan GIATMARA Malaysia. Melalui kursus ini, bekas pelatih akan berpeluang mengikuti latihan di Inkubator Usahawan dan menyertai Kelab Usahawan GIATMARA (KUG). Melalui program Inkubator, pembiayaan dan bantuan sehingga RM5,000 akan diberikan kepada pelatih yang mempunyai potensi menjadi usahawan yang boleh maju ke hadapan.

Pelatih Solekan & Terapi Kecantikan ketika latihan solekan.

Di dalam konteks latihan kemahiran di GIATMARA, pelatih yang berkebolehan akan dipilih untuk menyertai Pertandingan Kemahiran Malaysia dimana hanya mereka yang mempunyai kemahiran yang tinggi mampu untuk menyinar.

Tenaga Pengajar, Puan Sabrina Abdul Rahim (Tengah) bersama Mary Emelda (Kiri) dan Nur Ruhiya Amira (Kanan) dalam Pra-Kelayakan PKM di IKBN Pertak, Hulu Selangor.

Baru-baru ini seramai 6 orang pelatih GIATMARA Sri Aman telah menggalas nama Sarawak untuk menyertai Pra-Kelayakan Pertandingan Kemahiran Malaysia. Seramai 4 orang pelatih Teknologi Sistem Komputer telah menyertai pertandingan dalam kategori berasingan iaitu IT Network Administration, IT Software Solution for Business dan Web Design yang diadakan di CIAST,Shah Alam, Selangor. Manakala 2 orang lagi pelatih Solekan & Terapi Kecantikan telah menyertai kategori Beauty Therapy di IKBN Pertak, Hulu Selangor. Peserta pertandingan telah diiringi oleh En. Mohd Faizal bin Che Amat (Pengurus) dan 2 orang Tenaga Pengajar iaitu En. Mohd Khairul Azha bin Haji Azahari dan Puan Sabrina binti Abdul Rahim.

Barisan pelatih Solekan & Terapi Kecantikan bersama Pengurus dan Tenaga Pengajar.

Walaubagaimanapun, persaingan yang sengit serta pemarkahan yang ketat, seorang peserta Solekan dan Terapi Kecantikan, Mary Emelda ak Rigok telah berjaya ke Peringkat Akhir PKM dimana beliau telah dilatih sepenuhnya oleh Puan Sabrina binti Abdul Rahim, Tenaga Pengajar Solekan & Terapi Kecantikan GIATMARA Sri Aman. Pertandingan Akhir bakal diadakan pada Julai ini.

Pelatih Teknologi Sistem Komputer bersama Tenaga Pengajar.

Selain itu, GIATMARA Sri Aman menyediakan latihan separuh masa dalam bidang yang sama melalui pendekatan “Life Long Learning” (3L) iaitu konsep pembelajaran sepanjang hayat. Terbaru, Program Latihan 1 Malaysia bakal bermula pertengahan Jun ini dengan menawarkan kursus Solekan & Terapi Kecantikan dan Teknologi Sistem Komputer. Kursus jangkamasa pendek ini menekankan tentang modul ringkas tetapi peserta hanya perlu membayar RM1 sejam untuk latihan. Di akhir latihan, peserta akan memperolehi Sijil Latihan 1 Malaysia.

Banyak nilai kehidupan yang diperolehi sepanjang masa di GIATMARA

Berbalik kepada permohonan sepenuh masa. Syarat-syarat kemasukan adalah :
• Bumiputera Warganegara Malaysia
• Sihat Tubuh Badan
• Berumur 16 tahun ke atas
• Boleh Membaca & Menulis
• Minat dalam bidang yang dipohon

Sertai kami dalam kursus Solekan & Terapi Kecantikan

Justeru, belia-belia dipelawa untuk menyertai Latihan Kemahiran di GIATMARA Sri Aman kerana permohonan telah dibuka sekarang. Borang Permohonan boleh diperolehi di GIATMARA Sri Aman atau boleh dimuat-turun di laman web www.giatmara.edu.my ataupun di Laman Blog GM Sri Aman iaitu http://gmsriaman.blogspot.com.


Sertailah GIATMARA Sri Aman dan realisasikan impian kemahiran anda! Layari Laman Blog GM Sri Aman untuk mengetahui lebih lanjut aktiviti di GIATMARA Sri Aman.

0 komen:

Post a Comment