Photobucket

Monday, March 5, 2012

Aram Nemuai ke GIATMARA



Program Aram Nemuai ke GIATMARA telah dijalankan di Lubok Antu baru-baru ini. Program seharian tersebut bermatlamatkan penyebaran maklumat tentang GIATMARA dan mendekatkan diri dengan masyarakat setempat. Program ini dijalankan di Kompleks Sukan Lubok Antu dan telah dihadiri hampir 500 orang penduduk setempat.

Program usahasama GIATMARA Lubok Antu dan GIATMARA Sri Aman tersebut adalah julung kali diadakan di Bahagian Sri Aman. Pelbagai program dijalankan seawal jam 6 pagi. Senamrobik Rakyat, Pertandingan Mewarna, Futsal, Badminton, Sepak Raga, Menyumpit dan Sukaneka. Turut dijalankan sepanjang hari tersebut, Pertandingan Karaoke serta Khidmat Solekan Percuma dari GIATMARA Sri Aman.

Menyerikan lagi program tersebut adalah dengan kehadiran delegasi GIATMARA Pulau Pinang dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA Malaysia, Tuan Haji Abdul Halim Mansor.

Dalam acara berasingan di majlis makan malam sempena program tersebut, seramai 30 orang anak-anak keluarga e-Kasih telah menerima sumbangan pakaian seragam sekolah dari GIATMARA Lubok Antu. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA Malaysia , Tn. Haji Abdul Halim dipetik berkata, ”Hasrat GIATMARA adalah untuk menjadi peneraju latihan kemahiran yang unggul khususnya di Lubok Antu dan negeri Sarawak amnya. Pendididikan kemahiran adalah jauh berbeza dengan pendekatan akademik di universiti kerana kemahiran memerlukan kepakaran dan “hands-on” yang berkualiti.”

Rombongan GIATMARA juga telah membuatkan lawatan ke Rh. Nanga Spaya, Ulu Engkari dalam menyampaikan hebahan tentang peluang pendidikan kemahiran yang ditawarkan di GIATMARA Lubok Antu dan GIATMARA Sri Aman. “Kewujudan kompleks GIATMARA Lubok Antu yang serba canggih merupakan kebanggaan rakyat di Lubok Antu dan peluang untuk merebut ilmu kemahiran haruslah tidak disia-siakan”, ujar En. Mohd Nazri Awang, Pengurus GIATMARA Lubok Antu.

GIATMARA Malaysia turut berbesar hati untuk menjalankan “technology shift” bersama komuniti di Ng. Badau, Kalimantan, Indonesia. Sekiranya menjadi realiti, GIATMARA Lubok Antu bakal menerajui usahasama tersebut. GIATMARA sebelum ini telah melakukan usahasama dengan Thailand, Kemboja dan beberapa negara lain. Lawatan delegasi GIATMARA ke Ng. Badau menterjemahkan kesungguhan GIATMARA menjalinkan usahasama serantau untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat kedua-dua Negara.

Sebagai sebahagian daripada promosi, 3 kursus ditawarkan di GIATMARA Lubok Antu merangkumi Teknologi Automotif (1 tahun), Fashion and Dressmaking (6 Bulan) serta Kimpalan dan Fabrikasi Logam (6 Bulan). Dalam masa yang sama, GIATMARA Sri Aman pula menawarkan kursus Solekan & Terapi Kecantikan (6 Bulan) dan Teknologi Sistem Komputer (6 Bulan). Pelatih yang mengikuti kursus di GIATMARA bakal menikmati elaun RM200 sebulan serta Sijil Professional GIATMARA Malaysia setelah tamat latihan.








0 komen:

Post a Comment